Sunday 28 April 2013

Asal usul kompang..


Salah satu daripada alat muzik tradisional Melayu yang popular masa kini ialah kompang. Kompang dikatakan berasal daripada Parsi dan digunakan untuk menyambut kedatangan Rasulullah S.A.W. Selain itu, kompang juga digunakan untuk menaikkan semangat tentera Islam ketika berperang. Alat muzik ini dibawa ke Nusantara oleh pedagang Arab yang datang berdagang. Mereka memperkenalkan alat muzik ini dan mendapat sambutan yang hebat di kalangan penduduk Tanah Melayu terutamanya orang-orang Jawa.


Kompang mempunyai ukuran garis pusat antara 20 hingga 37.5 sentimeter dan ketinggian sehingga 12 sentimeter. Ia banyak dimainkan di negeri Johor, Selangor dan Perak. Kalau dahulunya alat muzik ini hanya dimainkan di majlis perkahwinan, berkhatan, dan menyambut pembesar tetapi penggunaannya diperluaskan di sekolah, institusi pengajian tinggi dan ketika menyambut ketibaan pemimpin negara luar.

Kompang

Alat muzik ini bulat dan diperbuat daripada kayu yang kuat dan berkualiti. Kayu yang berbentuk bulatan penuh ini dikenali sebagai balon atau badan kompang. Biasanya kayu yang digunakan ialah pokok cengal dan palau. Penggunaan kayu yang kuat akan memastikan balon kompang tidak pecah atau retak apabila terjatuh. Kulit kambing betina pula digunakan sebagai penutup pada permukaan balon kompang. Satu lagi permukaan kompang yang terbuka dikenali sebagai mulut kompang.

Kompang terdiri daripada pelbagai saiz. Kompang yang dimainkan di Johor tidak mempunyai saiz yang tertentu. Ada yang mempunyai ukuran garis pusat sepanjang 22.5 sentimeter, 25 sentimeter, 27.5 sentimeter dan ada juga yang mencecah sehingga 35 sentimeter. Kebanyakan pemain di Johor menggunakan kompang yang sama saiznya. Hal ini demikian kerana kompang yang pelbagai saiz menghasilkan bunyi yang berbeza. Pemain di negeri Perak dan Selangor pula menggunakan alat muzik sampingan yang lain untuk mempelbagaikan bunyi.


Tarian Kompang


Kebudayaan..

Dalam pengertian yang paling umum, kebudayaan merupakan seluruh cara hidup sesuatu masyarakat atau seluruh aspek pemikiran dan tingkahlaku manusia yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain melalui proses pembelajaran.

Tetapi dalam pertuturan sehari-hari, kebanyakan daripada kita membuat pengertian kebudayaan atau mengaitkan dengan fenomena-fenomena seperti bentuk tarian dan muzik, makanan, fesyen pakaian sahaja. Jadi pengertian di sini adalah terlalu sempit dan terhad. Tetapi bagi ahli sains sosial, pengertian kepada konsep kebudayaan ini lebih luas.
s
Dari perspektif sosiologi kebudayaan membawa pengertian segala hasil dan idea yang dipelajari dan dikongsi oleh ahli-ahli dalam sebuah masyarakat. Ini termasuklah segala kepercayaan, nilai-nilai politik, adat resam, undang-undang, moral, institusi sosial, seni lukis, bahasa dan bahan-bahan material.
s
Edward B.Taylor telah memberi satu takrif yang klasik mengenai konsep kebudayaan. 
"kebudayaan merupakan satu keseluruhan yang kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, kesusilaan, undang-undang, adat resam dan lain-lain kebolehan serta kebiasan yang diperolehi oleh manusia sebagai anggota masyarakat."